(Artikel ini dihantar untuk diterbitkan oleh sebuah akhbar online)
“Wahai orang-orang yang
beriman, diwajibkan atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa..” (Surah Al-Baqarah:183)
Ayat di atas
selalu kita dengar setiap kali menjelangnya bulan Ramadan al mubarak yang kita
sama-sama akan menyambutnya tidak berapa lama lagi
Allah SWT
sebagai Pencipta manusia pastilah Maha Mengetahui hikmah diwajibkan berpuasa
selama sebulan penuh setiap tahun kepada setiap orang Islam kecuali jika
mempunyai keuzuran tertentu.
Antara manfaat
berpuasa secara umum adalah dari aspek kerohanian (meningkatkan keimanan,
menjadi insan lebih bertaqwa, melatih kesabaran, mengawal hawa nafsu dan
sebagainya), aspek psikologi (melatih
kemampuan mengawal diri, disiplin, mengurus masa, wang dan sebagainya) serta
aspek fizikal iaitu kesihatan.
Artikel ini akan memfokus kepada manfaat berpuasa dari aspek
kesihatan.
Sebelum itu ada baiknya kita memahami secara ringkas, proses
fisiologi normal yang berlaku apabila kita makan (fed state) dan apabila kita berpuasa (fasted state). Kedua-dua keadaan ini saling berkaitan tetapi
berlawanan antara satu sama lain (ibarat ‘yin’ dan ‘yang’)
Sebaik sahaja kita makan, hormon insulin akan dirembeskan
sebanyak-banyaknya dan insulin akan memberi isyarat kepada tubuh untuk
menyimpan kalori sebagai lemak. Insulin juga akan menghalang pembakaran lemak
Dalam keadaan kita berpuasa, paras insulin adalah rendah
(manakala hormon glukagon dan hormon pertumbuhan (growth hormone) yang mempunyai fungsi berlawanan dengan insulin,
meningkat naik.
Secara ringkasnya insulin boleh diibaratkan sebagai “suis”
yang mengawal samada lemak disimpan atau dibakar
Apakah kepentingan anda mengetahui asas ini? Anda hanya boleh
membakar lemak dalam keadaan berpuasa dan anda hanya boleh menambah lebih
banyak lemak semasa anda kekenyangan!
Kerintangan Insulin
Akibat dari tabiat makan yang berlebihan di negara ini, kita
berada dalam keadaan kekenyangan (fed
state) dalam kebanyakan masa, cuma waktu tidur sahaja kita berada dalam
keadaan puasa (fasted state).
Kesannya sel-sel badan kita sentiasa ‘dibanjiri’ hormon insulin yang tinggi dan
kurang membakar lemak, sebaliknya pula lemak semakin lama semakin banyak
tersimpan dalam tubuh.
Akhirnya paras insulin yang tinggi sepanjang masa menyebabkan
tubuh kita hanya bergantung kepada glukosa sebagai sumber tenaga dan pendedahan
kepada insulin lama kelamaan menyebabkan sel-sel tubuh menjadi rintang (“immuned”) kepada insulin dan lebih
banyak hormon tersebut dirembeskan, menjadi suatu pusingan yang tak
berkesudahan (vicious cycle).
Kerintangan insulin yang kronik adalah punca kepada sindrom
metabolik yang ditandai dengan obesiti, pengumpulan lemak bahagian abdomen,
paras trigliserida tinggi, rendah HDL (‘kolesterol baik’) dan akhirnya boleh
membawa kepada diabetis.
Adaptasi lemak
Tubuh manusia mempunyai kebolehan untuk membakar lemak,
bukannya glukosa sebagai sumber tenaga. Ini tentunya perlu kepada masa dan
latihan tertentu, terutama dari pengubahsuaian dari segi pengambilan makanan
yang betul
Ada beberapa cara untuk mencapai keadaan diatas, antaranya
pengambilan diet rendah karbohidrat, bersenam, pengambilan makanan kalori
rendah dan berpuasa secara berkala (intermittent
fasting)
Puasa berkala (intermittent fasting)
Menurut Dr. Jason Fung, seorang Pakar Perubatan buah pinggang
dari Kanada dan antara peneraju dan penyelidik dalam bidang ini menegaskan,
antara manfaat puasa berkala adalah merangsang pembakaran lemak, meningkatkan
kesensitifan terhadap insulin, meningkatkan metabolisma, meningkatkan fungsi
otak, mengaktifkan sistem pertahanan badan, membaiki masalah hati berlemak,
merencat sel-sel kanser, mengurangkan proses inflamasi, merendahkan tekanan
darah, menurunkan kadar kolesterol dan banyak lagi.
Formula 16:8
Antara kaedah yang
disarankan oleh Dr Jason Fung ialah formula 16:8, iaitu anda berpuasa selama 16
jam dan makan hanya dalam selang masa 8 jam berikutnya. Contohnya makan malam
yang terakhir anda adalah pada jam 8.00 malam. Selepas itu anda jangan makan
apa-apa kemudian masuk tidur. Keesokan paginya, anda jangan mengambil sarapan,
sebaliknya teruskan berpuasa sehingga jam 12.00 tengahari untuk makan
tengahari. Dari pukul 12.00 tengahari, anda boleh makan seperti biasa hingga
pukul 8.00 malam
Ini kerana tubuh kita
memerlukan masa sekurang-kurangnya 12 jam untuk memasuki fasa pembakaran lemak.
Berpuasa merangsang autofagi
Autofagi adalah
proses pembersihan terhadap komponen-komponen sel dan molekul yang rosak.
Pengumpulan bahan-bahan buangan sel ini akan menjadi toksik dan merosakkan
fungsi sel. Semasa keadaan kekenyangan dimana paras insulin adalah tinggi,
kadar proses autofagi ini adalah sangat rendah dan semasa berpuasa, kadarnya
meningkat sehingga 5 kali ganda!
Autofagi adalah
proses yang aktif semasa umur muda. Semakin umur meningkat, proses autofagi
semakin menurun dan menyebabkan kerosakan sel semakin bertambah, ditambah lagi
jika seseorang mempunyai diabetis.
Dengan mengamalkan
puasa berkala, didapati kadar autofagi menjadi aktif seperti pada usia muda!
Berpuasa sebagai terapi anti-penuaan
Kajian saintifik juga
mendapati puasa secara berkala memanjangkan telomere
iaitu struktur yang terdapat di hujung kromosom yang melindungi kromosom dari
kerosakan. Secara asasnya semakin panjang telomere
seseorang, didapati umurnya semakin panjang serta kesihatan seseorang secara
umumnya baik.
Paras saintis barat
sedang giat menyelidik dan mencipta ubat-ubatan serta terapi yang mahal untuk
memanjangkan telomere, jadi kenapa perlu ubat-ubat yang mahal, sedangkan anda
boleh melakukannya dengan mudah dan percuma? Berpuasa!
Puasa Ramadan
Jelaslah berpuasa di
bulan Ramadan adalah salah satu kaedah puasa berkala. Katalah kita bersahur
pada pukul 5.00 pagi dan berbuka pada pukul 7.20 malam. Itu sudah 14 jam lebih
berpuasa!
Selepas masuknya azan
subuh, kita akan mula berpuasa sehinggalah ke azan maghrib. Pada masa itulah
sel-sel tubuh kita akan menggunakan glukosa yang diambil semasa sahur, dan
apabila ini kehabisan, glikogen iaitu (simpanan glukosa yang berada dalam otot
dan hati akan dibakar). Apabila bekalan glikogen pula habis, tubuh akan
membakar lemak pula sebagai sumber tenaga.
Kajian-Kajian Saintifik Berkenaan Puasa Ramadan
Terdapat banyak
kajian yang telah dibuat berkenaan puasa Ramadan. Pada tahun 1996, sebuah
konferen antarabangsa telah berlangsung di Casablanca, Morocco dan sebanyak 50
kertas kajian dibentangkan. Kesimpulan dari konferen tersebut telah menunjukkan
puasa Ramadan mempunyai kesan positif terhadap kesihatan termasuk mengawal
kadar glukosa darah, menurunkan tekanan darah, membaiki profil kolesterol dan
kesan menurunkan berat badan. Tiada kesan sampingan serius dilaporkan.
Nasihat umum semasa Ramadan
Semasa berbuka dan
malamnya, kurangkan pengambilan minuman dan makanan manis serta berkarbohidrat
tinggi seperti air yang sangat manis, kuih muih yang manis dan nasi yang
berlebihan. Sebaliknya lebihkan pengambilan air kosong, makanan tinggi
kandungan serat (sayur-sayuran, buah-buahan) serta makanan yang yang mempunyai
kandungan protein dan lemak yang lebih tinggi.
Ini kerana minuman
atau makanan yang manis akan meninggikan kandungan insulin seterusnya merencat
proses pembakaran lemak. Apa yang kita mahu adalah tubuh terus menggunakan ‘mode’ pembakaran lemak, walaupun pada
malam-malam Ramadan!
Jadi makanlah secara
bersederhana, kalau ingin ‘bersenam’ pula, jangan lupa untuk bertarawih pada
malamnya. Dapat pahala dan kesihatan yang baik…insya Allah !
Dan apabila
berakhirnya Ramadan, ada baiknya kita meneruskan puasa berkala ini (puasa sunat
isnin dan khamis misalnya) serta mengurangkan pengambilan gula serta makanan
berkarbohidrat tinggi!
Dr Ahmad Hapizi Abdullah
Setiausaha Perdim Pahang